Thursday, October 10, 2013

Penghormatan Terakhir

Assalamualaikum...

Aku baru sahaja sampai dirumah dari Tapah, Perak memberi penghormatan terakhir buat arwah Makcik aku, De. Arwah meninggal semasa tidur awal pagi tadi. Mak terima panggilan telefon daripada anak sulong arwah pada pukul 5am. Aku turut tersedar kerana bunyi deringan telefon itu mengejutkan aku apatah lagi apabila terdengar suara emak seakan-akan terkejut. Lantas aku bangun dan terus dapatkan mak.

Mak menangis beritahu aku yang De meninggal dunia. Memang mengejutkan walaupun kami tahu yang De memang tak berapa sihat dan baru sahaja dibenarkan pulang dari wad. Kalau ikutkan, sememangnya hari ini mak akan pulang ke Perak bersama Kaknyah kerana ada urusan dan mak memang plan hendak ziarah De seperti kebiasaan yang mak lakukan setiap kali pulang ke Perak. Aku dan kembar tak ikut disebabkan kesibukan bekerja. Tapi dah memang takdir yang De meninggal, sudahnya aku dan kembar pun turut bercuti juga hari ini demi untuk beri penghormatan terakhir buat De.

Gambar ini dipinjam daripada FB anak arwah
Kami bertolak lebih kurang pukul 7am setelah selesai isi minyak dan beli makanan untuk perjalanan ke Perak. Jenazah De berada dirumah anak ketiganya yang kami panggil Yang / Alang. Sesampai dirumah Alang, mak terus menangis melihat jenazah kakaknya yang terbujur kaku. Melihat mak berpelukan dengan Yong Tan, anak sulong arwah memang buat aku sayu. Jujur aku katakan yang aku sangat faham akan perasaan kehilangan kerana aku juga pernah mengalaminya. 

Melihat jasad De terbujur kaku, segala kenangan bermain dalam fikiran aku. Ketika aku masih kecil hinggalah aku dewasa. Masih aku ingat bagaimana De tenangkan aku ketika abah meninggal dunia dahulu. De banyak bagi semangat dan mengingatkan aku supaya jangan meratapi pemergian abah. Aku ingat lagi setiap kata-kata De apabila kami datang menziarahinya dirumah. De senyum bila kami datang dan arwah memang suka sangat kalau kami datang. Bila kami hendak pulang, arwah selalunya akan menitiskan air mata. Tapi kini, segalanya hanya tinggal kenangan. Kenangan yang akan kekal dalam ingatanku selagi hayat dikandung badan.

Jenazah De selamat dikebumikan selepas solat Zohor tadi. Seperti tidak percaya yang De sudah tiada lagi didunia ini. Rasanya seperti arwah masih ada dirumahnya. Benar, kebenaran itu amat pahit dan sukar untuk diterima. Hakikat kehidupan manusia, hanya Allah yang menentukan. Daripada DIA kita datang dan kepada DIA juga kita kembali. Al-Fatihah

p/s: Belum pun setahun mak bersedih kehilangan abang tersayang, kini kehilangan kakak yang dikasihi. Semoga Mak sentiasa kuat dan tabah hadapi ujian getir ini.

5 comments:

  1. Lg sekali, salam takziah drpd sally dan family ye...semoga kuat menerima ujian ni...Allah maha mengetahui...

    ReplyDelete
  2. takziah acik ucapkan ..semoga rohnya di tempat kalangan orang beriman

    ReplyDelete
  3. salam takziah dan al-fatihah...

    ReplyDelete
  4. Al Fatihah. takziah kak. gambar kat atas tu famili akak ke?

    ReplyDelete

My friend say: