Thursday, September 26, 2013

To Love Is To Forgive

Assalamualaikum...

Entri kali ini related to this entry Wordless Wednesday #2 [25.09.2013]


Aku nak share satu kata-kata motivasi yang ditulis buat aku oleh seorang pakar psikologi yang pernah beri kursus motivasi dipejabat aku. Namanya Dr Zaitun Sulaiman. Diakhir kursus, kami diberi sebuah motivation book berjudul Say Something Nice. Buku ini adalah sebuah buku motivasi untuk wanita dalam menempuhi alam perkahwinan. Kiranya boleh dikatakan sebagai buku panduan dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga. Buku ini diterbitkan pada tahun 2006 dan aku terima buku ini pada September 2007.
Tertarik aku dengan kata-kata yang ditulis oleh Dr Zaitun, "To Love Is To Forgive".

To Love Is To Forgive. Apa yang korang faham daripada maksud ayat ini? Pada aku, ia punya pelbagai perspektif terpulang kepada bagaimana kita mengintepretasikan ayat ini. Sudut pandang setiap manusia berbeza. Mungkin ada pro and cons. Pada aku, bercinta bukanlah perkara mudah semudah ABC. Bercinta perlukan pengorbanan. Pengorbanan yang kadang kala mungkin tak terjangka dan langsung tak masuk akal. Bukan nak menafikan bahawa bercinta itu perkara yang indah tetapi pada aku, hanya mereka yang benar-benar bersedia mampu untuk bercinta.

Cinta itu menyakitkan? Tidak sama sekali tetapi manusia itu yang selalu suka menyakiti. Cinta tak salah kerana ia adalah anugerah dari Allah. Cinta itukan lumrah hidup manusia, kerana tanpa cinta tak mungkin wujud kasih sayang antara sesama manusia. Tanpa cinta takkan wujud kasih sayang sesama makhluk Allah baik antara manusia, haiwan dan alam sekitar. Kerana cintalah kita kenal erti kemanusiaan.

Dalam bercinta, kepercayaan, saling memahami antara satu sama lain sangatlah menjadikan perkara asas dalam sesuatu hubungan cinta. Kalau kita tak mampu percaya kepada pasangan kita, bagaimana kita hendak hidup bersama bukan? Kalau kita tak boleh saling memahami, bagaimana nak wujudkan keharmonian dalam hubungan cinta itu bukan? Tapi bagaimana kalau kepercayaan kita dikhianati dan bagaimana pula kalau sudah hilang sefahaman?

To Love Is To Forgive. Itu mungkin jawapan yang paling tepat yang boleh aku fikirkan. Mungkin itu juga yang cuba diungkapkan oleh Dr Zaitun saat menitip kata-kata ini buat aku. Dalam sesuatu hubungan percintaan, pasti ada pasang surutnya kebahagiaan itu. Kita hanya manusia biasa dan takkan lepas dari melakukan kesilapan. Begitu juga dalam percintaan. Mungkin ada masanya kita merasa terluka dengan perbuatan pasangan kita. Mungkin ada masanya kita hampir putus asa dengan pasangan kita. Mungkin juga ada masanya kita berfikir putuskan sahaja hubungan itu, pasti sahaja masalah selesai. Betulkah begitu?

To Love Is To Forgive. Belajarlah untuk memaafkan. Belajarlah untuk memaafkan kesilapan pasangan kita andai kata dia menyedari perbuatan salahnya itu. Berilah peluang kepadanya andai dia mahu memperbaiki kesilapan dirinya. Walau mungkin hati masih terluka kerana kesilapan itu, pujuklah hatimu untuk memaafkan dia. Bantulah dia agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kita juga tidak tahu mungkin ada masanya kita juga terlanjur melukakan hati pasangan kita. Andai kita mampu memaafkan pasangan kita saat dia melakukan kesilapan dan mengakui kesilapan itu, secara tidak langsung kita mendidik dia untuk memaafkan kita saat kita melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

Belajarlah untuk menerima kelemahan pasangan kita kerana kita manusia memang takkan pernah sempurna. Andai pasangan kita punya banyak kelemahan, disitulah fungsi kita sebagai pasangannya, membantu dia memperbaiki kelemahan diri. Bantulah dia menjadi seorang insan yang terbaik. Saling melengkapi agar kelemahan itu dapat diatasi.

Mungkin apa yang aku tulis diatas adalah terlalu umum mengenai cinta kerana aku mungkin tidak banyak pengalaman mengenainya. Namun sebagai insan, aku tidak nafikan bahawa aku ingin mencintai dan dicintai. Cuma masa dan ketikanya masih dalam rahsia Allah. Aku memang bercinta sekarang, tetapi dengan bercinta dengan keluargaku, sahabat-sahabatku, kerja yang diamanahkan kepadaku dan yang paling pasti dengan agama, Rasul dan Tuhan yang menciptaku. Tersenyum? Ya, benar aku bercinta dengan semua itu kerana Cinta itukan Universal. Hanya cinta kepada seorang bernama suami masih dalam pencarian. Moga Allah akan pertemukan aku dengan yang selayaknya aku terima.

Maafkan aku andai penulisan kali ini agak bosan dan mungkin berbeza pandangan dengan kalian. Niatku hanya untuk berkongsi pendapat mengenai kata-kata mutiara ini.

Okay...till meet again
IKLAN

2 comments:

My friend say:

Nuff Ads