Sunday, September 15, 2013

[15.09.2005 - 15.09.2013] Abah Dalam Kenangan

Assalamualaikum...

Entri ini adalah berkisah mengenai arwah abah. Aku telah kehilangan abah pada usia 19 tahun. Masih segar lagi dalam ingatan bila aku ketika itu masih disekolah menduduki trial exam STPM subjek Pure Maths. Abah meninggal waktu tengah hari. Bila sampai dirumah tengok ramai orang terutama saudara belah Mak. Memang pelik sebab bukan ada kenduri pun. Rupanya abah yang meninggal. Masa tu memang tak terucap dek kata, tak terungkap dek rasa. Hanya air mata yang gugur tanpa mampu bersuara. Hilangnya abah, tanda sebelah hati ibarat mati.

Pejam celik mata, waktu berlalu pergi dengan cepat sekali. Kini, pada tarikh ini, 15 September 2013 genap 8 tahun abah pergi meninggalkan kami. Abah pergi kerana menyahut seruan Ilahi. Abah pergi dengan begitu tenang sekali. Dia redha dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan Allah. Setiap ujian yang diberikan Allah, abah amat redha sekali. Mungkin sesekali abah merintih menanggung keperitan sakit yang dideritai namun abah tetap kuat. Mungkin demi tidak mahu membimbangkan kami sekeluarga. Sementelah, kami semua perempuan, kudrat yang tidak setanding lelaki.

Masih aku ingat abah akan bangun dihening pagi dan dengar radio Nasional.FM setiap hari. Abah akan duduk dalam gelap gelita dengar celoteh DJ radio dan juga program agama diawal pagi. Bila tiba je masa, abah akan panggil nama kami anak-anaknya untuk bangun pagi bersiap ke sekolah. Kebiasaannya aku yang paling awal sekali bangun dan dituruti adik beradik yang lain. Sesekali aku tidur lewat, aku akan nampak abah menangis seorang diri. Mungkin mengenang nasib diri atau merindui adik-adiknya yang 'dekat tapi jauh'. Namun, siapalah abah untuk mengucap kata rindu kerana dia hanyalah ibarat seorang abang yang mungkin "tidak punya makna buat adik-adiknya". Biarlah, hanya Allah yang mengetahui akan segalanya.

Dihujung usia abah, Mak selalu duduk dekat sebelah abah dan kadang-kadang air mata mak gugur tanpa mak sedar. Bahkan sehingga nak solat pun mak solat sebelah tempat abah baring. Mak ibarat dapat merasai yang abah akan pergi tak lama lagi. Abah pula, sering menyebut nama isteri, anak-anak dan menantunya hampir setiap hari. Entah kenapa tapi mungkin itu sebenarnya petanda cumanya kami tak faham. Aku masih ingat suara abah menyebut satu persatu nama kami. Namun, itu semuanya hanyalah kenangan. Walau kenangan itu amat menyedihkan, ia tetap berharga buat kami. 
Kini, 8 tahun berlalu. Abah semakin jauh dan kami semakin hampir menemui Pencipta kami, ALLAH SWT. 8 tahun nampak lama tetapi masa sangat pantas berlalu, seperti semalam abah baru sahaja pergi. Ucapan terima kasih aku ucapkan buat semua yang telah membantu menguruskan jenazah arwah abah dulu. Ada juga yang dikalangan mereka yang telah pergi menghadap Ilahi. Hanya doa yang dapat aku kirimkan buat mereka. Jasa mereka tidak akan dapat aku lupakan sehingga akhir hayat aku. Semoga Allah memberi pahala buat kalian semua. 

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah abah dan menempatkan abah dikalangan hamba yang SOLEH. Abah, Anim rindu sangat kat abah. Tidak pernah Anim lupa untuk doakan abah setiap kali selepas solat. Semoga Abah tenang disana. Semoga abah dah ampunkan segala dosa Anim pada Abah. Terima kasih kerana menjadi abah yang terbaik buat kami sekeluarga walau abah mungkin bukan abah yang sempurna dari segi kudrat, namun kasih sayang abah buat kami sekeluarga tidak pernah membataskan segalanya. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa baik abah. 

22 September 2013 ni, kalau abah masih hidup, genap abah berusia 57 tahun. Namun apakan daya, ketentuan Allah itu lebih besar hikmahnya. 

Al-FATIHAH buat Abdul Rashid bin Hashim (22 September 1956 - 15 September 2005), Dalam kenangan.

6 comments:

  1. Al-Fatihah utk arwah... Moga ditempat di kalangan org2 yg soleh...

    ReplyDelete
  2. Al-Fatihah untuk arwah ayah akk.

    ReplyDelete
  3. Al fatihah..smoga arwah abah ditmptkan diklgan org mulia.amin

    ReplyDelete
  4. alfatihah buat arwah...semoga arwah sentiasa berada dikalangan org yg beriman..sally pun sama dgn anim jugak :')

    ReplyDelete

My friend say: