Monday, March 18, 2013

Manusia, Hidup dan Dugaan

Assalamualaikum semua...

Hari ini, merupakan hari yang buat aku sedikit stress. Tak perlulah aku ceritakan dengan lebih lanjut apa yang membuatkan aku stress hari ini. Cukup sekadar aku sahaja yang mengetahuinya. Cuma aku ada sedikit yang ingin diperkatakan.

Dalam menjalani kehidupan, hidup kita tidak akan pernah sunyi daripada menghadapi dugaan. Allah SWT akan sentiasa menguji hambaNYA selagi mana dia mampu menghadapinya. Mungkin kadangkala kita terasa amat berat dugaan itu untuk kita hadapinya, tetapi secara tidak sedar, dugaan itu jugalah yang menjadikan kita kuat dalam meneruskan kehidupan.

Dugaan yang Allah berikan kepada kita sebenarnya sesuatu yang sangat berharga dalam hidup. Setiap daripada kita diduga secara berbeza tertakluk kepada kekuatan semangat kita dalam menghadapinya. Daripada dugaan itu jugalah kita boleh jadikan ia sebagai pengalaman hidup. 
Image: Google
Pengalaman mematangkan kehidupan kerana kita manusia bukan belajar semata-mata disekolah atau dikolej dengan subjek-subjek yang diajar oleh guru atau pensyarah. Akan tetapi, pengalaman hiduplah sebenarnya yang menjadi guru utama dalam kita meniti arus kehidupan. 

Seperti juga aku, pengalaman sebagai seorang yang bekerja memang mengajar aku tentang realiti sebenar kehidupan. Kala aku masih dibangku sekolah, perkara yang sentiasa bermain dalam kotak minda ialah, "Bagaimana ya situasi aku jika bekerja?". Itu sentiasa aku fikirkan sehinggalah aku mendapat pekerjaan seawal usia 21 tahun. Memang tidak ku duga, seawal itu usia aku bergelar pekerja.

Sepanjang aku bekerja, tidak dinafikan, telah banyak yang aku lalui. Pengalaman punyai rakan kerja yang pelbagai ragam dan kerenah benar-benar mengajar aku bahawa "INILAH KEHIDUPAN". Rambut sama hitam, hati lain-lain. Jiwa dan fikiran manusia tak akan pernah sekata dan sependapat. Setiap daripada kita punya cara berfikir dan ideologi yang berbeza. 

Namun, disitulah pentingnya kita untuk saling memahami dan menerima perbezaan itu sebagai meneruskan kelangsungan hidup. Disitulah kemanisan dalam kehidupan. TETAPI AWAS, jangan sampai makan diri sendiri. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Itulah yang sentiasa aku ingatkan pada diri ini.
Image: Google
Jika kita punya rasa tak selesa atau rasa tertekan dengan situasi semasa, carilah jalan penyelesaian yang terbaik..sebaik-baiknya, janganlah sampai kita menyusahkan orang lain. Andai tak mampu atasi sendiri, carilah sahabat yang benar-benar ikhlas untuk mendengar luahan hati kita. 

Walau bagaimanapun, sebaik-baik cara untuk mengatasi tekanan itu, berdoalah kepada Allah agar sentiasa dikuatkan hati kita untuk menghadapi dugaan hidup. Berzikirlah sebagai cara untuk atasi stress. 

*Pesanan ini bukanlah untuk membanggakan diri sebaliknya hanyalah sebagai peringatan buat diriku sendiri. Ya Allah, kurniakan aku kekuatan dan ketabahan hati dalam meneruskan kehidupan ini. Bimbinglah aku agar tidak tersasar dalam menyusuri jalanan kehidupan yang sangat mencabar ini.


Aku titipkan lagu daripada kumpulan nasyid Hijjaz buat renungan kita bersama

2 comments:

My friend say: